|
Pendahuluan
• Islam adalah agama yang menganjurkan pembangunan yang holistik (menyeluruh). Islam turut menganjurkan pembangunan kerohanian ke arah pembangunan insan atau melahir individu berakhlak tinggi.
• Sesuai dengan fitrahnya yang menganjurkan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, Islam sentiasa menggalakkan umatnya berpandangan jauh dan berwawasan.
• Allah swt mengingatkan manusia supaya mencari bekalan untuk akhirat dan jangan pula mengabaikan kehidupan di dunia.
“Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan jangan kamu melupakan bahagianmu dari kenikmatan di dunia dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan” (Surah al-Qasas ayat 77)
Pandangan Negatif Terhadap Islam
• Suasana dunia berubah selepas Peristiwa 11 September. Pandangan dunia terhadap Islam telah disalahertikan oleh pihak tertentu.
• Islam telah digambarkan sebagai agama yang menganjurkan keganasan, pemberontakan dan dendam.
Agenda merosak imej Islam dengan imej jahat dan ganas (demonisation of Islam), sememangnya berlaku dan diterajui oleh media antarabangsa yang tidak pernah menggambarkan Islam sebagai agama yang dinamis, progresif dan toleran.
Peristiwa 11 September telah mencetuskan semula pandangan terhadap Islam sebagai ancaman kepada keamanan sejagat.
• Pada masa yang sama, di beberapa Negara ada parti politik dan gerakan atas nama Islam yang mempelopori fahaman dan tindakan melampau (ekstrim), keras, ganas, tidak dinamis dan tidak toleran.
• Golongan ini menyalahtafsir makna sebenar ‘jihad’ dan menterjemahkannya kepada gerakan ekstrim dan ganas, termasuk dalam adab percakapan dan berpolitik.
Pemikiran dan doktrin ini wujud di kalangan pemimpin dan penyokong Pas.
Pembangunan Ummah Secara Bersepadu
• Umat Islam perlu menonjol akhlak teladan dan membina tamadun yang berjaya memimpin dunia ke arah kemakmuran hidup, kesejahteraan dan keredhaan Allah swt. Inilah di antara tugas dan taklif yang diamanahkan kepada manusia.
• Setiap amal baik orang Islam adalah ibadah. Dalam ilmu Fiqah, tanggungjawab dibahagikan kepada dua iaitu :
a. Fardhu ‘Ain – kewajipan setiap orang Islam seperti sembahyang lima waktu, puasa, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan menuntut ilmu.
b. Fardhu Kifayah – kewajipan bersama oleh masyarakat Islam seperti pengurusan jenazah, solat berjemaah, pertahanan negara, berdakwah, kejuruteraan, perniagaan, penguasaan teknologi dan pertanian.
• Setiap amal (fardhu ‘ain dan fardhu kifayah) mestilah dilaksanakan dengan cemerlang. Barulah umat Islam muncul sebagai masyarakat yang cemerlang dalam semua aspek kehidupan untuk diteladani masyarakat dunia.
• Aqidah dan pegangan mestilah kukuh dan bersih dari penyelewengan, termasuk khurafat dan tahyul. Jika disepadu dengan akhlak mulia dan sentiasa bertekad mahu bekerja cemerlang pembangunan bersepadu akan wujud dan Islam akan diteladani bangsa lain.
Pembangunan Prasarana
• Pembangunan prasarana bermakna menyedia, mengembang dan meningkatkan kemudahan awam masyarakat itu dari satu taraf ke taraf yang lebih baik.
• Penyediaan kemudahan ini dapat dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu :
a. Dharuriyat (keperluan asas)
Ada lima keperluan asas hidup iaitu makanan, pakaian, perumahan, ilmu pengetahuan dan kesihatan.
Tanpa keperluan asas manusia akan boleh ditimpa sakit atau lemah (boleh mati) untuk melaksanakan fardu ain. Contohnya, kemudahan hospital untuk kesihatan dan sekolah untuk pendidikan.
b. Hajiyat (kesempurnaan)
Tanpa kemudahan ini manusia boleh hidup seperti biasa. Namun jika kemudahan ini ada kita akan hidup lebih selesa. Contohnya, jalan raya, elektrik, pembentungan dan telefon.
c. Tahsiniyat (penghias atau pelengkap)
Kemudahan ini menambah kesempurnaan hidup kita, oleh itu bertambah selesa dan indah kehidupan manusia.
Contohnya, Kerajaan menyediakan banyak pusat sukan dan kemudahan beriadah seperti taman tasik dan taman permainan kanak-kanak..
• Pembangunan fizikal termasuklah rangkaian infrastruktur dan kemudahan awam seperti pengangkutan, elektrik, komunikasi, bekalan air dan pembentungan.
• seimbangan pembangunan mestilah meluas ke kawasan yang kurang maju dan luar bandar. Antaranya, pembinaan pejabat, masjid, jalan, tandas awam, komunikasi dan bekalan air.
• Dalil :
Surah Hud, Ayat 61 : “Dan kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka Nabi Salleh, Ia berkata: Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah. Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang telah menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya (banyak hasil dan sejahtera kehidupan padanya). Oleh itu minta ampun kepada Allah dari perbuatan syirik. Kemudian kembalilah kepadanya dengan taat dan tauhid”. (Surah Hud ayat 61)
Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi :
“Sesiapa yang diangkat oleh Allah AzzawaJalla menjadi pemimpin dalam urusan orang-orang Islam, kemudian tidak disempurnakan keperluan-keperluan rakyat, maka Allah tidak akan menyempurnakan keperluannya dan Allah akan menggantikan dengan pemimpin yang lain”
Pembangunan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT)
• Pada akhir abad ke-20 teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkembang pesat. Ia menjadi kemudahan penting untuk pelbagai aspek kehidupan, termasuk pendidikan, ekonomi dan urusan harian.
• Bagaimanapun, kadar penggunaan internet di kalangan negara Islam masih rendah berbanding penduduk Islam yang berjumlah kira-kira 1.4 billion.
Antara faktornya, majoriti negara Islam adalah negara dunia ketiga yang dihimpit dengan pelbagai masalah sosial, politik dan ekonomi seperti kemiskinan, kebuluran, perang saudara dan perebutan kuasa.
• Kadar penggunaan Internet di Malaysia agak tinggi di kalangan negara Islam iaitu kira-kira 6.3 peratus dalam tahun 1999.
Kadar ini semakin meningkat. Malaysia juga membelanjakan sebanyak RM2.9 billion iaitu 58.2 peratus daripada jumlah pasaran ICT tempatan yang bernilai kira-kira RM5 billion.
Kepentingan Negara Islam Menguasai ICT
• Memandangkan ICT menjadi teknologi penting pelbagai bidang, ia menjadi kemahiran strategik untuk umat Islam cemerlang dan bersaing di peringkat antarabangsa.
• ICT menjadi kemudahan asas menguasai pelbagai ilmu dan berkomunikasi dengan pantas. Negara Islam akan ketinggalan dalam aspek pendidikan, teknologi, ketenteraan, perniagaan dan pembangunan jika tidak menguasai ICT. Contohnya, Amerika Syarikat mendapat pendapat berbilion dolar dari penjualan produk ICT.
• Firman Allah swt dalam Surah Az-Zumar, Ayat 9 :
“Adakah sama orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu pengetahuan? (Tentu tidak). Hanya yang menerima peringatan ialah orang yang berakal.”
• Jumlah pekerja dalam k-ekonomi meningkat daripada 11.1 peratus (954,600 orang) pada 1996 kepada 19 peratus (1.8 juta orang) pada 2000.
Koridor Raya Multimedia (MSC)
• Malaysia telah merancang dan melaksanakan agenda besar untuk beralih daripada sektor ekonomi berasaskan pembuatan kepada sektor ekonomi berasaskan pengetahuan (K–ekonomi). Ini termasuklah pembentukan Koridor Raya Multimedia (MSC).
• Tujuan pengwujudan MSC adalah untuk merangsang ekonomi ke tahap produktiviti yang lebih tinggi menerusi penggunaan teknologi dan aktiviti-aktiviti yang mempunyai nilai tambah.
• MSC adalah konsep bandar ICT terancang secara bersepadu yang mengimbangi keperluan moden semasa dan akan datang, pembangunan fizikal dan kerohanian, alam semula jadi dan konkrit, termasuk di zon perumahan, perusahaan dan komersil. Selain Masjid Putrajaya, seni bina Islam moden menjadi identitinya.
• Kejayaan MSC akan memberi manfaat kepada Malaysia dan seluruh dunia Islam. Projek berwawasan menjadi model terbaik dan holistik yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat Islam moden, contohnya :
a. Kerajaan Elektronik
b. Sekolah Bestari
c. Kad pelbagai guna
d. Tele perubatan
e. Kelompok penyelidikan dan pembangunan
f. Pemasaran tanpa sempadan (menerusi Internet)
g. Rangkaian pengilangan sedunia
• Sehingga April 2001, 477 syarikat beroperasi di MSC. Daripada jumlah itu 40 adalah syarikat bertaraf antarabangsa, 311 syarikat Malaysia dan 154 lagi syarikat asing.
Kesimpulan
• Dengan penyediaan kemudahan dharuriyat, hajiyat dan tahsiniyat, jelaslah pembangunan ummah di Malaysia bersifat menyeluruh (holistik) sehingga menjadi negara Islam contoh kepada dunia.
• Namun Malaysia masih terus bekerja kuat untuk terus menguasai pelbagai teknologi dan pembangunan untuk terus cemerlang dan membentuk tamadun yang boleh diteladani dunia.
• Malah Malaysia dalam rancangan dan tindakan holistiknya melengkapkan proses pembangunan dengan menyelaras dan mengemaskini Undang-undang Pentadbiran Islam.
• Dengan itu, Malaysia meninggikan lagi maruah dan martabat Islam di mata dunia.
• Pada masa yang sama, golongan yang gagal membawa rakyat kepada kemajuan ekonomi dan rohani jelas gagal melaksanakan tanggungjawab menjaga nama baik Islam.
• Mereka inilah yang mencemar imej Islam dengan kemunduran, kemiskinan, pemikiran sempit, dan pelbagai akhlak buruk seperti bercakap kasar, mencaci, maki hamun dan berkelakuan agresif.
• Hal ini jelas di Kelantan dan Terengganu, ekonomi terus perlahan, rakyat menganggur dan mencari kerja di negeri lain.
|