|
Sdr Editor!
Pernah seorang teman berkata jikalau Nabi Muhammad saw bersikap dan bermentaliti seperti pemimpin Pas nescaya Islam tidak akan berkembang seperti hari ini.
Beliau mengupas betapa pemikiran kepimpinan Pas sebenarnya tidak menjanjikan apa-apa kemajuan kepada rakyat khususnya umat Islam di negara ini.
Sebab itu tidaklah menjadi satu kehairanan jika Pas terus menjadikan konsep Islam Hadhari sebagai bahan untuk dijadikan isu bagi meraih sokongan politik semata-mata.
Bagi Pas Islam hanyalah sekadar satu perkataan azimat untuk dipergunakan bagi mengaburi rakyat terutama umat Islam di negara ini.
Pemimpin Pas sengaja bersikap jumud kerana enggan memahami konsep Islam Hadhari yang diperjuangkan Barisan Nasional (BN) kerana khuatir peluang mereka untuk menjaja Islam bagi mendapat sokongan rakyat terjejas.
Oleh kerana itu pemimpin mereka terus gigih memutarbelitkan Islam Hadhari hingga ke tahap mendakwanya sebagai satu ajaran agama yang baru.
Hakikatnya jika ada pihak menyatakan konsep Islam Hadhari adalah ajaran Islam baru, mereka sebenarnya gagal memahami pembaharuan semasa yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bangsa, agama serta membangunkan negara.
Melalui konsep Islam Hadhari, kerajaan sebenarnya sedang menyerlahkan pengertiannya berdasarkan program pembangunan yang dilaksanakan di seluruh negara.
Islam Hadhari yang cuba dibawa oleh kerajaan BN adalah untuk mengikis halangan terhadap kemajuan pemikiran umat Islam sekaligus membina tamadun kekuatan Islam melalui kecemerlangan dalam pelbagai bidang khususnya pendidikan.
Pemimpin Pas sebenarnya faham tetapi sengaja menjumudkan diri untuk mencipta peluang bagi mengelirukan rakyat.
Sebab itu pemimpin Pas tidak boleh menjadi pemimpin realistik kerana mereka senantiasa menentang apa sahaja yang hendak dilakukan oleh kerajaan BN sekalipun untuk membangunkan rakyat melalui keadah Islam Hadhari.
Sesungguhnya tindakan kepimpinan sedemikian rupa akan merugikan masa depan rakyat negara ini kerana setiap kebaikan yang hendak dilaksanakan untuk rakyat akan sentiasa dipertikai oleh kepimpinan Pas.
Apakah menjadi satu kesalahan atau dosa yang besar sekiranya kerajaan BN sentiasa berusaha mahu melihat rakyat negara ini mencipta lebih banyak kejayaan dan kemajuan sehingga mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang melalui program Islam Hadhari?
Jika ini pada Pas dianggap satu kesalahan atau dosa yang besar maka jelaslah pemikiran kepimpinan Pas tidak realistik bagi memikirkan tentang kesejahteraan rakyat sebaliknya mereka lebih gemar melaksanakan adudomba politik bertujuan untuk memecah belahkan masyarakat.
Razman Hadi
|