|

Oleh Ammarhisham
Kulim –- Tindakan Pas mengajak rakyat memboikot penggunaan Lebuh Raya Utara-Selatan mulai 1 Januari depan disifatkan sebagai tidak praktikal dan hanya menggambarkan kecetekan pemikiran mereka di dalam menangani sesuatu isu.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Azimi Daim berkata saranan tersebut tidak lebih sekadar satu usaha singkat Pas untuk menangguk publisiti murahan seperti yang lazimnya dilakukan oleh mereka selama ini.
Beliau seterusnya yakin rakyat tidak akan mudah terikut dengan gaya pemikiran sempit pemimpin Pas yang selalunya bercakap tanpa mendahului akal.
“Kita percaya rakyat sudah cukup matang untuk menilai kewajaran kenaikan kadar tol tersebut.
“Malah rakyat juga sudah pasti tidak pernah lupa bahawa pemimpin Pas sebelum ini turut menyifatkan pembinaan lebuh raya Utara-Selatan sebagai satu projek yang membazir tetapi masih menggunakan kemudahan lebuh raya itu sehingga ke hari ini.
“Justeru, kita percaya walaupun kenaikan kadar tol ini agak membebankan tetapi rakyat juga masih lagi mempunyai pilihan untuk menggunakan jalan alternatif yang tidak mempunyai tol. Ini terserahlah kepada rakyat sendiri untuk menguruskan perbelanjaan mereka”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda di sini, hari ini sebagai mengulas tindakan Pas yang mengajak rakyat untuk memboikot lebuh raya Utara-Selatan bermula 1 Januari ini sebagai membantah kenaikan kadar tol sebanyak 10 peratus.
Azimi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bandar Baharu seterusnya menjelaskan dalam hal ini kerajaan sendiri menghadapi dilema untuk membuat keputusan sama ada membenarkan kadar kenaikan tol itu atau membayar pampasan RM154 juta kepada syarikat konsesi yang mengakibatkan rakyat bukan pengguna lebuhraya turut menanggung beban.
“Kita sesungguhnya faham dalam keputusan itu kerajaan telah mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua pihak”, ujarnya.
Serentak itu, beliau turut meminta pemimpin Pas memastikan semua ahli mereka tidak menggunakan lebuh raya berkenaan sebagai tanda protes mereka terhadap kenaikan 10 peratus kadar tol itu.
“Kita minta mereka pastikan tidak seorang pun ahli dan pemimpin mereka melalui lebuh raya terbabit mulai 1 Januari depan sebab seperti mana yang kita tahu Pas ini selalunya lain cakap di depan lain buat di belakang”, katanya.
|