|
KENYATAAN MEDIA OLEH ABDUL RAHMAN DAHLAN, PENOLONG SETIAUSAHA, PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
Kuala Lumpur, 14 Julai 2005
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan bahawa nama Keris Pusaka Pemuda yang akan mula digunakan dalam Perhimpunan Agung Pemuda, minggu depan, sebagai Keris Panca Warisan.
Mengikut Kamus Dewan, ‘panca’ bererti kelima-lima jari tangan manusia iaitu ibu jari, jari telunjuk, jari hantu, jari manis dan jaring kelengkeng. Secara simboliknya kelima-lima jari menggambarkan keupayaan untuk memegang dan menguasai apabila kelima-limanya menyatu. Maka, apabila bersatu-padu Pemuda berupaya berpadu tenaga dan menguasai, jika tidak bersatu, berpecah dan lemahlah ia.
‘Warisan’ bererti harta peninggalan atau pusaka yang akan diserahkan kepada pihak yang sah dan berhak menerimanya. Pemuda UMNO adalah generasi yang bakal menerima warisan perjuangan UMNO apabila sampai takdirnya.
Pemuda UMNO memilih keris sebagai simbolik perjuangan bagi mengungkap semangat dan makna senjata yang besar sekali pengertiannya pada orang Melayu sejak zaman berzaman.
Malah bagi orang Melayu, keris bukan sekadar senjata tradisi yang dibuat dari besi, baja dan pamor yang diukir dan dibentuk dengan indah.
Keris juga merupakan senjata yang sekaligus boleh mempertahankan dan mencedera malah membunuh musuh. Keris adalah senjata tradisi yang melambangkan nilai, adat, budaya, maruah dan kedaulatan orang Melayu sendiri. Keris adalah lambang jati diri Melayu yang beragama Islam dan menjunjung tinggi al-Quran.
Maka itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin mengingatkan bangsa kita, khususnya ahli UMNO pada simbol paling hebat dan gah bagi orang Melayu. Kami ingin memberi makna pada lambang kekuatan, keberanian, keyakinan dan kecekalan bangsa.
Kami ingin memuliakan lambang yang selama ini menjadi tunggal parti yang bersejarah dan berjasa ini.
Dalam sejarah orang Melayu, keris menjadi sebahagian dari lagenda bangsa. Wira Melayu yang dianggap tersohor, Hang Tuah, tentulah tidak akan berani mengisytiharkan “Tidak Melayu hilang di dunia” sekiranya tidak didukung oleh senjata yang menempatkan beliau sebagai pejuang yang setia.
Terlalu banyak dalam cerita rakyat dan kitab Melayu lama peranan keris dalam mencorakkan sejarah dan peristiwa zaman-berzaman.
Maka itu bagi orang Melayu, keris sebenarnya bukan sekadar alat perang dan sengketa tetapi mempunyai makna kebudayaan yang kompleks dan istimewa.
Oleh yang demikian, keris dilihat bukan sahaja sebagai artifak budaya tetapi juga ada kaitannya dengan nilai, minda malah psyche orang Melayu. Keris bukan sahaja melindungi pemakainya tetapi dipercayai memberikan “perlindungan” psikologi kepadanya.
Setelah tamat bersidang, Kongres Melayu SeMalaya pada 1946 bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan UMNO dan ‘keris’ digunakan sebagai lambang kerana hendak “mengganyang, menggempur dan memusnah Malayan Union.”
Belum pernah sebelum itu rakyat jelata Melayu dan Raja-raja bersatu padu serta bekerjasama berpimpin tangan dan berganding bahu seperti semasa berjuang meruntuhkan Malayan Union.
Mereka bukan sahaja melihatnya sebagai simbol mempertahankan kekuatan, maruah dan citra bangsa tetapi juga kerana kaitannya yang panjang dengan keagungan nilai dan tamadun bangsa.
Sewajarnyalah, keris diberikan penegasan semula makna dan peranannya, selain memperkukuh kedudukannya sebagai simbol yang paling dikenal dan dihargai oleh orang Melayu.
Kita memerlukan keris kerana keris itu adalah lambang orang Melayu dan UMNO yang memancarkan keyakinan, keberanian dan kesediaan kita menghadapi apa sahaja. Atau dalam konteks masa kini menghadapi cabaran global. Kita mahukan keris sebagai asas simbolik pada perjuangan Melayu sampai bila-bila.
Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, mengembalikan semangat yang terdapat pada simbol ini mempunyai makna yang istimewa. Pergerakan Pemuda UMNO telah menjadi suara dan bicara parti ini- dulu, kini dan selamanya.
Pemuda bukan mengambil semangat keris tanpa sebab. Pemuda melihat keris sebagai warisan tradisi agung bangsa.
Pemuda melihat keris sebagai lambang kuasa Melayu dan tonggak kekuatan Melayu. Amanah untuk membela dan mempertahankan parti, pemimpin dan perjuangan memuliakan bangsa telah diwariskan kepada Pemuda sejak sekian lama.
Seperti keris orang Melayu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menjunjung kuasa Melayu, mempertahankan bangsa Melayu dan memberikan motif dan semangat untuk anak bangsa melangkah ke hadapan menghadapi apa juga cabaran.
|