|
Oleh Haris Razali
Kulim -- Pemimpin pembangkang sepatutnya mengukur kemampuan dan memperbetulkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum membuat kecaman melulu terhadap kabinet baru yang dibentuk baru-baru ini.
Ketua Penerangan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Azimi Daim berkata pelbagai tafsiran yang dibuat oleh pemimpin pembangkang tidak lebih sekadar cuba mencipta isu baru setelah ketandusan modal politik.
Jelas beliau lagi rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Selasa lalu sudah pasti telah mengambilkira pelbagai aspek terutama dalam misi menjayakan Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK9).
"Jelas barisan Kabinet yang diumumkan itu merupakan satu pasukan mantap untuk membantu PM dalam mencorakkan pembangunan dan kemajuan negara demi kepentingan rakyat.
"Bagi kita apa jua yang cuba diperkatakan oleh pembangkang sebagai satu lumrah kerana kita amat memahami pendekatan politik mereka. Malah kita percaya rakyat lebih bijak dan matang untuk membuat penilaian.
"Biarlah mereka (pembangkang) terus menyalak, yang pasti misi kita terutama kerajaan Barisan Nasional mengotakan apa yang telah dijanjikan", katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas tindakan pemimpin pembangkang yang terus membuat pelbagai dakwaan terhadap rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Selasa lalu.
Azimi yang juga ADUN Bandar Baharu seterusnya berkata dalam soal barisan kabinet ini hanya Perdana Menteri yang lebih tahu mengenai apa yang beliau perlukan dalam memastikan agenda pembangunan dan kemajuan negara boleh dicapai.
"Sebagai Perdana Menteri kita yakin beliau lebih memahami apa yang beliau perlukan terutama dari sudut kesesuaian, latar belakang dan kemampuan pasukan yang boleh membantu beliau menjayakan agenda pembangunan negara seterusnya membela rakyat", ujarnya.
|