Isu Semasa Pemuda: Misi Gerakan Keamanan Pemuda Antarabangsa Ke India Capai Matlamat
Posted on Tuesday, August 08 @ 19:34:17 MYT
Topic: Berita / Isu Semasa



Oleh Kazman Kamal

Kuala Lumpur -- Setelah misi Gerakan Keamanan Pemuda Antarabangsa yang dicetuskan untuk mewujudkan rantaian dan kesedaran di kalangan pemimpin muda luar negara berhubung kekejaman rejim zionis Israel berjaya dilakukan di Indonesia, misi yang serupa turut menerima reaksi yang positif di India.

Pada 3 hingga 5 Ogos lalu satu delegasi Pemuda Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Ketua Pemuda MIC, YB SA Vigneswaran bersama tujuh lagi wakil anggota komponen Pemuda BN yang lain telah ke India dalam konteks dan misi yang serupa.

Biarpun dalam tempoh yang singkat, delegasi tersebut telah berjaya menyampaikan hasrat Gerakan Pemuda Antarabangsa BN dengan jelas berhubung kekejaman rejim Israel.

Ketua delegasi, YB SA Vignesvawan dalam satu kenyataan kepada laman webPemuda di sini, hari ini berkata pemimpin muda dari negara terbabit sepakat mengutuk tindakan kejam dan zalim oleh Israel terhadap Lubnan dan Palestin.

Menurut beliau pihaknya telah menyatakan secara terperinci tentang pendirian kerajaan Malaysia dan Pemuda BN dalam isu ini dan berharap masalah di Lubnan di lihat dalam konteks pembunuhan kejam tanpa berperikemanusiaan.

“Tindakan ini hendaklah dikutuk sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa. Pihak di India bersetuju dengan pendirian kita dan menyatakan kekaguman mereka terhadap inisiatif ini walaupun Malaysia merupakan sebuah negara kecil.

“Mereka juga bersama Malaysia mengutuk tindakan Israel dan semua penggunaan kekerasan atau pendekatan terorisme dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu permasalahan”, katanya.

Dalam pertemuan itu juga, YB SA Vignesvawaran memaklumkan pihaknya turut menerangkan kandungan memorandum antarabangsa yang disediakan oleh Malaysia kepada pihak India.

“Mereka telah bersetuju untuk membincangkan sesama sendiri sebelum mengemukakan draf memorandum kepada Malaysia untuk ditandatangani bersama”, ujarnya.

Di samping itu, kata beliau lagi mereka juga bersedia menghadiri sebarang forum antarabangsa atau intervensi bersesuaian yang dicadangkan oleh Pemuda BN pada bila-bila masa.

Dalam perkembangan sama beliau turut memberitahu Pemuda Parti Kongres Inida telah mengesahkan bahawa perbincangan dengan Pemuda BN akan dibawa untuk perbincangan lanjut dalam Forum Belia yang akan diadakan pada 10 dan 11 September 2006.

“Mereka juga telah menerima jemputan daripada Ketua Pemuda BN dan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Hussien untuk menghadiri Persidangan Agung UMNO yang akan diadakan pada bulan November 2006 di Kuala Lumpur”, katanya.

Perjumpaan ringkas telah diadakan dengan Ketua Pemuda Parti Kongres Kebangsaan India, Shri Ashok Tanwar, dan Ketua Pemuda Parti Bharatiya Janata (BJP), Shri Dharmendra Pradhan, Ahli Parlimen serta Ketua Pemuda Kongres Tamil Nadu, Shri Mayura S. Jayakumar.

Inisiatif Malaysia ini adalah suatu usaha berbilang kaum mengatasi batasan kaum, agama, fahaman dan ideologi politik serta sentimen sempit tertentu.

Pergerakan untuk keamanan yang dicetuskan oleh Malaysia menyeru semua individu, pertubuhan dan negara untuk menyatakan pendirian tegas dan untuk bersatu hati dalam mendesak Israel menghentikan pembunuhan kejam sewenang-wenangnya terhadap orang awam, wanita dan kanak-kanak.

Selain YB. SA. Vigneswaran delegasi tersebut turut disertai Exco Pemuda MCA Kebangsaan, YB En. Gan Ping Sieu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam dan Hal Ehwal Pengguna UMNO, Datuk Subahan Kamal, Ketua Pemuda Parti Progresif Rakyat Kebangsaan (PPP), T. Murugiah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Gerakan, A. Kohilan Pillay, Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, M. Kumaresan, Ketua Biro Komuniti dan Perpaduan Pemuda MIC Kebangsaan, Nitesh Malini Mahendra Kumar dan Setiausaha Sulit kepada YB. En. SA. Vigneswaran, Kamalakannan Kaliaperumal.


 
· More about Berita / Isu Semasa
· News by admin


Most read story about Berita / Isu Semasa:
Pemuda, PPIM Edar Senarai Produk Belanda Untuk Diboikot



 Printer Friendly Printer Friendly




Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (UMNOYOUTH), Hakcipta Terpelihara.
All logos and trademarks in this site are property of their respective owner.
The comments are property of their posters, all the rest by Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia