KetuaPemuda: Pemuda Sasar Daftarkan 150,000 Ahlinya Sebagai Pengundi
Posted on Tuesday, February 06 @ 21:28:11 MYT
Topic: Berita Terkini



Oleh Kazman Kamal

Kuala Lumpur -- Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menetapkan tempoh sehingga Jun ini untuk memastikan 150,000 ahlinya didaftarkan sebagai pengundi sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata bagi tujuan itu pihaknya akan menggerakkan seluruh jentera di setiap peringkat bagi mengenalpasti ahli yang belum berdaftar sebagai pengundi.

Tegas beliau lagi adalah sesuatu yang merugikan sekiranya jumlah besar tersebut tidak dapat mengundi bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum nanti.

"Seluruh bahagian akan digerakkan dan Exco-exco angkat yang telah kita kenalpasti untuk berinteraksi secara langsung dengan bahagian-bahagian tersebut telah pun saya amanahkan untuk turun melihat kepada kedudukan ahli kita.

"Biro Putera juga diberikan peranan untuk membantu di samping Biro Keahlian dan Daftar Pemilih bagi memastikan jumlah tersebut dikurangkan", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Malaysia di sini, hari ini.

Mengenai jumlah besar yang belum berdaftar sebagai pengundi beliau berkata ini mungkin disebabkan ramai di kalangan mereka baru mencecah umur 21 tahun.

Dalam mesyuarat tersebut juga beliau memberitahu pihaknya berpuas hati dengan peranan dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh jentera Pemuda pada pilihanraya kecil di Batu Talam.

Beliau turut mengakui kejayaan pada pilihanraya kecil itu bukanlah sesuatu yang mudah dicapai terutama dengan tindakan pemboikotan parti pembangkang.

"Pilihanraya berkenaan bukan pertandingan yang mudah, lebih-lebih lagi pembangkang cuba boikot dan calonnya (Bebas) tidak kelihatan. Untuk memastikan momentum jentera pemuda sepanjang tempoh kita berkempen, untuk memastikan pengundi keluar mengundi, memastikan pengundi mengundi calon BN bukannya satu perkara yang kecil.

"Walau bagaimanapun kita tengok semangat kerjasama daripada peringkat negeri dan dibantu oleh pusat, kejayaan BN di Batu talam membawa makna dan erti yang amat bernilai terhadap perjuangan parti", ujarnya.

Justeru beliau berharap tumpuan dan komitmen sama yang ditunjukkan di Batu dapat diterjemahkan kepada satu gerakan seluruh negara dalam persiapan Pemuda berdepan dengan pilihan raya umum nanti.

Beliau turut berkata pihaknya juga akan terus memperkukuhkan hubungan sesama ahli di samping mempertingkatkan kerjasama di kalangan komponen BN.

"Hubungan dan kerjasama ini penting untuk kita pertingkatkan bagi menghadapi pilihanraya umum.

"Tidak mungkin kita memenangi pilihanraya kalau kita tidak bekerjasama rapat dengan rakan seperjuangan di dalam BN", katanya.


 
· More about Berita Terkini
· News by admin


Most read story about Berita Terkini:
Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia



 Printer Friendly Printer Friendly




Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (UMNOYOUTH), Hakcipta Terpelihara.
All logos and trademarks in this site are property of their respective owner.
The comments are property of their posters, all the rest by Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia