|
Oleh S.A Najmuddin
Kuala Lumpur -- Pemuda UMNO hari ini menyifatkan bloggers yang tidak bertanggungjawab yang menyiarkan bahan-bahan serta isu sensitif yang boleh menganggu-gugat keamanan dan keharmonian negara sebagai pengkhianat.
Justeru pergerakan itu mendesak agar kerajaan mengambil tindakan tegas mengikut akta-akta yang sedia ada untuk memastikan ianya tidak akan berulang pada masa akan datang.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata kementerian-kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Penerangan perlu mengambil tindakan segera dan tidak hanya berdiam diri.
Menurut beliau kementerian terbabit boleh memainkan peranan dengan melakukan siasatan terhadap kes tersebut berdasarkan semua peruntukan yang terkandung di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, bagi memastikan hukuman yang setimpal dijatuhkan di atas setiap kesalahan yang dibuat.
"Bagi Pemuda kebebasan bersuara mestilah diimbangi dengan batas-batas kehidupan negara yang berbilang bangsa. Tanpa pengimbangan ini, maka usaha membentuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang telah disemai semenjak Malaysia merdeka 50 tahun yang lalu tidak akan membawa sebarang makna.
"Malah keamanan yang dinikmati selama ini mungkin akan terjejas angkara segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai perasaan cintakan negara. Pemuda sudah bosan kerana tiada tindakan dan penguatkuasaan terhadap Bloggers yang tidak bertanggungjawab itu", katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda pada sidang media bersama Ketua-Ketua Pemuda negeri di sini, hari ini. Sebelas Ketua Pemuda negeri hadir kecuali Perlis dan Kedah.

Datuk Norza Sedang Menjawab Soalan Pemberita Dalam Satu Sidang Media Bersama Kesemua Ketua Pemuda UMNO Negeri Kecuali Kedah Dan Perlis
Norza seterusnya berkata pergerakan itu menyokong penuh tindakan UMNO Malaysia yang telah membuat laporan Polis terhadap pengendali dan pemilik laman web Malaysia-today.net yang menyiarkan komen-komen sensitif mengenai kedaulatan Yang di-Pertuan Agong, keagamaan dan perkauman di dalam laman web tersebut.
Menurut beliau Malaysia-today semestinya termaktub di bawah peruntukan undang-undang yang sama seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi membataskan maklumat yang boleh dicetak dan disebarkan kepada orang ramai.
"Sebagai penyiar komen-komen tersebut, Raja Petra seharusnya bertanggungjawab untuk memberi amaran yang jelas kepada setiap pemberi komen bahawa mereka perlu bertanggungjawab terhadap komen-komen yang dihantar dan boleh didakwa di dalam mahkhamah sekiranya melanggar garis panduan yang ditetapkan.
"Pemilik laman web terbabit telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai penyiar komen-komen tersebut kerana gagal mengeluarkan sebarang komen-komen sensitif di dalam laman web berkenaan", ujarnya.
Tegasnya lagi kenyataan yang mengatakan laman web tersebut tidak tertakluk di bawah undang-undang Malaysia adalah tidak benar kerana maklumat dan berita yang disiarkan khusus mengenai Malaysia dan untuk tatapan rakyat negara ini.
"Justeru, adalah wajar sebarang kesalahan perlu diambil tindakan mengikut undang-undang Malaysia", katanya.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyarankan agar kerajaan menggubal undang-undang yang lebih menyeluruh untuk memastikan pemilik dan pengendali laman web dipertanggungjawabkan sepenuhnya ke atas semua isi kandungan laman web masing-masing bagi mengelakkan perkara-perkara seperti yang berlaku pada kali ini berulang.
"Laman web berita Internet juga sepatutnya mempunyai permit yang sah termasuk undang-undang yang perlu dipatuhi oleh pihak pengurusan dan pemberita laman web.
"Selain itu, kita juga melihat perlunya kerajaan dan Polis menubuhkan unit ‘Cyberpolice (Polis Siber)’ untuk memantau dunia siber.
"Bagi Pemuda, sekiranya kita masih kekurangan dari segi kemampuan, kita perlu tubuhkan pasukan ini dengan pendedahan teknologi terkini dalam usaha mengekang gejala yang tidak bermoral", ujarnya.
Tegas beliau, Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri sehingga bloggers-bloggers yang tidak bertanggung jawab itu dikenakan tindakan.
"Pemuda negeri-negeri juga akan mengambil tindakan susulan untuk memantau kegiatan Bloggers yang tidak bertanggung jawab tersebut.
"Kita khuatir, jika tidak ada pemantauan ianya dibimbangi akan membawa budaya yang tidak langsung sesuai dengan bentuk acuan pemikiran masyarakat yang telah kita bentuk selama 50 tahun ini", ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan agar media arus perdana tidak memberikan kredibiliti kepada maklumat-maklumat yang disiarkan oleh Bloggers dengan menyiarkan maklumat-maklumat tersebut tanpa mempastikan kesahihan maklumat-maklumat tersebut.
|