|
Oleh Kazman Kamal
Kuala Lumpur -- Usaha Pemuda Barisan Nasional (BN) untuk menarik kira-kira 100,000 penduduk Kelantan yang berada di Lembah Klang untuk balik mengundi menerusi program "Pade Doh, Pakat Kelik Ngundi" dilihat mula memperlihatkan kejayaan.
Bilik Gerakan Pemuda BN Kelantan yang beroperasi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dibuka sejak tiga hari lalu ternyata sibuk melayan panggilan dan kunjungan penduduk Kelantan di Lembah Klang yang menyatakan sokongan terhadap program tersebut.
Setiausaha Kerja Pemuda BN, Mohd Shahriza Amir Shariffuddin menganggap sambutan ini seperti satu gelombang perubahan awal yang mula ditunjukkan pengundi Kelantan khususnya golongan muda.
Jelas beliau program berkenaan yang mengkhususkan dua strategi utama adalah inisiatif Pemuda BN yang mahu mengajak rakyat Kelantan melakukan satu perubahan setelah sekian lama berada di bawah pemerintahan Pas.
“Dua strategi tersebt ialah pertama untuk menggerakkan generasi muda dari Kelantan untuk pulang mengundi di negeri mereka dan yang kedua, untuk mengakhiri tempoh kerajaan pembangkang di sana.
“Sejak mula dibuka tiga hari lalu bilik gerakan kita menerima kira-kira 600 panggilan telefon daripada penduduk Kelantan yang ingin pulang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Jumlah ini cukup menggambarkan semangat mereka untuk melakukan perubahan”, katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Malah beliau turut menjangkakan jumlah tersebut terus meningkat menjelang pilihanraya umum 8 Mac ini.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kira-kira 100,000 penduduk Kelantan yang layak mengundi berada di Lembah Klang dan 50 peratus daripada mereka adalah anggota Pemuda BN.
“Kita berharap dapat membawa balik semaksimum mungkin jumlah tersebut bagi merealisasikan misi kita untuk menawan Kelantan kali ini”, ujarnya.
Sementara itu, Pemuda BN terus menyemarakkan semangat bagi berdepan pilihanraya umum 8 Mac ini dengan memasang kain rentang gergasi "Pemuda BN Sedia Gempur" di kawasan tempat letak kereta orang kenamaan Menara Datuk Onn, PWTC di sini hari ini.
Pemasangan kain rentang bersaiz 60 meter x 30 meter adalah yang terbesar dan pertama kali di pasang sempena pilihan raya umum.
|