|
Oleh Adnil Mohd
Shah Alam – "Robohkan segera replika Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengelakkan ia terus menjadi bahan kontroversi dan kekeliruan masyarakat khususnya umat Islam", demikian gesaan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Faizal Abdullah kepada penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jelas beliau tindakan itu perlu memandangkan pemasangannya telah mencetuskan pelbagai reaksi termasuklah pencanggahan pendapat di kalangan masyarakat.
Dalam laporan Sinar Harian hari ini, beliau turut menambah pihaknya menghormati dan menghargai keprihatinan masyarakat dalam berkongsi kemeriahan sambutan Aidilfitri tetapi tindakan memasang replika tersebut telah menyebabkan timbul isu baru.
"Pelbagai reaksi timbul mengenai kewajaran pemasangan replica itu. Justeru ia mendesak agar ia dirobohkan segera bagi mengelakkan kekeliruan dan kontroversi secara berterusan.
"Kita faham pemasangannya adalah sah dan mendapat kelulusan tetapi elok rasanya ia dirobohkan segera", katanya.
Jelas beliau lagi pelbagai pendapat timbul melibatkan bijak pandai agama hingga membuatkan masyarakat keliru selain ia dibina berdekatan dengan masjid.
Oleh itu kata beliau Majlis Perbandaran Selayang perlu lebih prihatin dengan komen dan bantahan terhadap pemasangan replika berkenaan dan perlu bertindak segera termasuklah membatalkan permit yang telah diluluskan.
"Mufti Perlis,Dr Mohd Asri Zainal Abidin telah pun menasihatkan agar replika itu diturunkan kerana boleh membawa kepada unsur keberhalaan. Projek itu juga satu pembaziran yang jelas tidak selari dengan dasar parti itu yang mementingkan kebajikan dan kepentingan rakyat.
"Robohlah segera. Lagipun ia tidak bersesuaian dengan budaya kita. Saya bimbang selepas ini akan muncul satu trend baru di mana rakyat dijamu dengan lebih banyak replika gergasi pemimpin lain yang dipasang di seluruh negara", ujarnya.
|