Pemuda Wujud Makmal Kumpul Maklumat Golongan Muda
Posted on Sunday, February 21 @ 23:03:48 MYT
Topic: Berita Terkini



Oleh Kefli Zaini

Penampang, 19 Febuari – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu akan mewujudkan makmal khas yang bertujuan untuk mengumpul pandangan golongan muda.


Menurut beliau melalui usaha berkenaan, segala pandangan daripada golngan muda akan diambil kira untuk diteliti bagi membantu kerajaan membentuk dasar-dasar yang lebih mesra kepada generasi terbabit.

“Walaupun idea itu hasil dari perjumpaan Exco Pemuda UMNO  dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu lalu, ianya akan dikendalikan oleh Pemuda BN kerana ianya melibatkan semua golongan muda Malaysia.

"Apa yang diminta oleh Datuk Seri Najib Razak pada perjumpaan baru-baru ini ialah minta kita buat lebih kepada mewujudkan satu mekanisme, satu makmal untuk mendapatkan pandangan yang boleh dijadikan cadangan kepada kerajaan untuk golongan muda.

"Istilah dipakai PM sepertimana digunapakai oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) iaitu makmal-makmal untuk keenam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), tetapi ini khusus untuk Pemuda. Kita panggil Makmal Pemuda, tapi dikendalikan Pemuda BN bersama Pemuda UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Renang Sabah dan Pemuda UMNO Sabah di kediaman setiausaha persatuan, David Ng, di Kg Tanaki di sini, hari ini.

Tambah Khairy lagi, satu mesyuarat akan diadakan selepas ini bagi penubuhan sebuah jawatankuasa bagi memantau penubuhan makmal khas mengendali tugasan tersebut dimana laporan pertama dijangka dikemukakan dalam masa tiga bulan.

Ketika diminta mengulas kritikan ahli Pemuda UMNO Kuala Kedah berhubung pelaksanaan  program Puteri UMNO yang dikatakan lebih bersifat sosial, Khairy berkata beliau percaya surat itu mempunyai niat kurang baik dan beliau sendiri tidak mempunyai masalah dengan pendekatan Puteri UMNO.

"Saya tak sempat nak baca surat tersebut, tapi melalui tinjauan saya, tidak ada masalah dengan pendekatan Puteri dan Puteri banyak membantu di peringkat akar umbi.

Dalam surat pembaca tersebut yang dikeluarkan dalam sebuah akhbar semalam, penulis tersebut dilaporkan berkata Fiesta Tarian Melayu Kreatif dan Fesyen Kebaya Puteri UMNO bukanlah suatu keutamaan kerana lebih banyak agenda kemasyarakatan yang perlu diberi perhatian dan sepatutnya diperjuangkan oleh Puteri UMNO.

Terdahulu, Khairy yang berada dua hari di negeri ini untuk lawatan kerjanya, melawat Hospital Queen Elizabeth untuk menyampaikan sumbangan buah tangan sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Pada majlis sambutan Tahun Baru Cina itu, Khairy turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Pemuda UMNO Sabah untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini. Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dan Baitulmal Sabah masing-masing turut menderma 500 dan 300 kampit beras.


 
· More about Berita Terkini
· News by admin


Most read story about Berita Terkini:
Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia



 Printer Friendly Printer Friendly




Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (UMNOYOUTH), Hakcipta Terpelihara.
All logos and trademarks in this site are property of their respective owner.
The comments are property of their posters, all the rest by Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia