|
Oleh Adnil Mohd
KUALA LUMPUR 30 Julai – Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dicabar agar membuka mulut berhubung cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menyarankan kerajaan Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.
Exco Pemuda UMNO, Mohd Suffian Awang
berkata beliau sehingga hari ini masih terfikir kenapa penasihat ekonomi
Selangor itu masih berdiam diri dan tidak memberi apa-apa respons berhubung
cadangan “bernas” wakil rakyat Dap itu.
Soal beliau apakah Anwar takut
kenyataan beliau itu akan memerangkap dirinya sendiri atau beliau secara
peribadi “merestui” cadangan “bernas” berkenaan atau beliau terikut-ikut dengan
rentak dan ideologi perjuangan Dap.
“Inilah yang menimbulkan persoalan. Beliau
perlu jelaskan segera. Saya percaya rakyat juga mesti tertanya-tanya kenapa
Ketua Pembangkang terbabit masih berdiam diri. Bukankah beliau telah dilantik
sebagai penasihat ekonomi negeri dengan gaji RM1.00.
“Sepatutnya beliau perlu kedepan
dalam soal ini supaya rakyat tidak menuduhnya macam-macam dan bagi mengelakkan “fitnah”.
Apa pun beliau perlu berpegang kepada
prinsip berani kerana benar dan takut kerana salah,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi Exco
Pemuda UMNO, Nasir Hussin Akhtar Hussein membidas sikap Ketua Pembangkang berkenaan yang dilihat
cuba bermain politik selamat untuk kepentingan diri beliau.
“Bagi saya beliau seorang yang bacul.
Kalau dia seorang yang berani, Anwar
antara orang yang pertama terkedepan dalam soal ini. Baculnya Anwar kepada Dap
amat memalukan dan terserlahlah bahawa Dap yang sebenarnya menjadi “leader”
kepada parti pembangkang.
“Mungkin Anwar terhutang budi kepada Dap yang sanggup menyerahkan
jawatan Ketua Pembangkang kepada beliau sehingga memaksanya berdiam diri dalam
soal tersebut walaupun ianya melibatkan kepentingan bumiputera. Sesungguhnya amat
malang, kegarangan dan kehebatan beliau seperti yang dibanga-banggakan oleh
penyokong beliau nampaknya terkucil di dalam pelukan Dap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO
Negeri Sembilan, Helmey Din pula menyifatkan Anwar sebagai pemimpin talam dua
muka yang mempunyai agenda tersirat demi memuaskan ahwa nafsu politiknya yang
terpendam.
Tegas beliau, agenda dan politik diri yang tersemat sejak
sekian lama telah melenyapkan kepetahannya dalam menyuarakan soal hak dan
kepentingan bumiputera di negara ini.
“Jika isu seumpama ini melibatkan
kompnen BN, saya percaya Anwarlah antara orang yang lantang ke depan memaki
hamun dan sebagainya. Saya tidak pelik dan tidak terkejut langsung siakp
berdiam diri Anwar dalam soal ini.
“Cuma apa yang menghairankan saya, di
manakan pemimpin-pemimpin utama Pas. Difahamkan hanya Pas Selangor sahaja yang
bantah cadangan berkenaan. Presiden, Timbalan Presiden dan kepimpinan Pas yang
lain nampaknya menikus.
“Apakah mereka telah dijanjikan
sesuatu dan saya tidak mahu buat sebarang spekulasi. Cuma terkejut dengan sikap
hipokrit “ayam sabung” Pas seperti Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan sebagainya.
Mungkin “ayam sabung” ini dah hilang taring atau tajinya telah dipatahkan oleh
Lim Kit Siang dan karpal Singh,” katanya.
|