Pemuda Tubuh Jawatankuasa Bertindak Rayuan Ke IPTA
Date: Monday, March 05 @ 09:27:12 MYT
Topic: Berita / Isu Semasa


Oleh Kazman Kamal

Kuala Lumpur -- Jawatankuasa Bertindak Rayuan Kemasukan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Pemuda UMNO akan beroperasi seperti tahun-tahun lalu sebaik sahaja keputusan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan bulan ini.

Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Harrison Hassan berkata jawatankuasa terbabit akan membantu memanjangkan rayuan semakan semula calon yang layak tetapi gagal mendapat tempat ke IPTA.

Menurut beliau pihaknya akan memberi keutamaan kepada para pelajar yang mempunyai keputusan cemerlang dalam bidang akademik serta kokurikulum untuk diketengahkan nanti.

“Kadangkala terdapat mereka yang layak tetapi tidak mendapat tempat ke IPTA disebabkan pemilihan kursus yang tidak sesuai atau kursus yang dipohon telah penuh.

“Sebab itulah kita mengambil inisiatif ini untuk membantu para pelajar terbabit agar kecemerlangan mereka tidak disia-diakan demi masa depan mereka dalam bidang pendidikan”, katanya kepada laman webPemuda di sini, Isnin.

Pada tahun lepas, jawatankuasa tersebut menerima kira-kira 5,000 rayuan daripada calon dan daripada jumlah berkenaan, kira-kira 30 peratus berjaya dipilih semula ke IPTA.

Harrison berkata pihaknya akan mengumumkan dalam masa terdekat tarikh bagi calon-calon untuk menghantar rayuan mereka bagi diteliti jawatankuasa terbabit





This article comes from Laman Web Pemuda UMNO Malaysia
http://www.pemuda.com.my

The URL for this story is:
http://www.pemuda.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=6343